Oct 09, 2020 - FASAshmawi Yakin, tonggak jentera pertahanan Selangor yang menunjukkan aksi yang konsisten sejak kejohanan CIMB Liga Super disambung semula telah menjadi buah mulut pemerhati bola sepak Selangor dan tempatan.
Kenali Ashmawi Yakin dengan lebih dekat di sini.
Lebih mesra dikenali sebagai Mawi, pemain yang berusia 26 tahun ini telah menyahut cabaran pemangku ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner untuk bermain di bahagian pertahanan kiri biarpun bek kanan merupakan posisi asal beliau.
Pengalaman bermain di posisi pertahanan kiri dalam beberapa perlawanan bersama pasukan Harimau Muda pada tahun 2015 nyata telah membantu Ashmawi menyahut cabaran tersebut.
“Suatu ketika dahulu bersama pasukan Harimau Muda, saya pernah bermain di posisi pertahanan kiri dalam beberapa perlawanan. Pengalaman tersebut membantu saya untuk berikan yang terbaik dalam perlawanan baru-baru ini,” kata Ashmawi.
Pemain kelahiran Seremban, Negeri Sembilan ini juga menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan serta mahu berikan yang terbaik untuk Gergasi Merah.
“Saya juga bersyukur kerana diberi kepercayaan tersebut dan berharap sentiasa berikan yang terbaik untuk Selangor,” tambahnya yang sudahpun membuat 5 penampilan bersama Selangor untuk musim ini.
Ashmawi telah beraksi dengan cemerlang terutamanya semasa menentang PDRM FA pada minggu lalu, di mana hantaran lintang beliau telah membantu Ifedayo Olusegun, penyerang Selangor mencetak gol ke-8 peribadinya pada minit ke-19.
Tonton highlights #PDRMSEL di sini.
Sebelum mengakhiri temubual, Ashmawi sempat mengucapkan terima kasih kepada komen-komen positif penyokong di media sosial dan berharap agar mereka terus memberikan sokongan kepada Gergasi Merah.
FA Selangor mendoakan agar Ashmawi terus konsisten dengan aksi terbaik beliau sehingga tamat perlawanan dalam Liga M musim ini. Semoga berjaya, Mawi!